KUCHING, 8 Mei: Seramai lima bekas prospek penjara menerima bantuan di bawah program Low Income Family Empowerment (LIFE) daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) sebanyak lebih RM23,000.
Menurut kenyataan Pejabat Pengarah Penjara Sarawak, ini merupakan kali ketiga penyerahan bantuan LIFE dilaksanakan sejak ia dimulakan pada Oktober tahun lalu.
Lima penerima bantuan berkenaan ialah Muhammad Yazid Lihi untuk Bantuan Modal Peningkatan Pendapatan sebanyak RM4,015.50, Muhd Shahrulnyzam Sahat (RM4,900), Zulfiker Mohd Fauzi (RM4,990.30), Mohamad Zuhaire Mohamad Haruddin (RM4,924) dan Ahmad Maarof bagi Bantuan Modal Perniagaan iaitu sebanyak RM4,981.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang disediakan oleh MPS melalui KPWK berjumlah RM23,810.80.
“Pejabat Pengarah Penjara Sarawak akan terus berusaha mengurusakan agar lebih ramai prospek dan bekas prospek daripada golongan anak Sarawak akan mendapat bantuan daripada program LIFE ini pada masa akan datang sesuai dengan kemahiran yang dimiliki,” katanya.
Program LIFE bertujuan memperkasa keluarga berpendapatan rendah termasuk golongan miskin, miskin tegar dan B40 melalui pelbagai bentuk bantuan seperti geran permulaan perniagaan, latihan kemahiran, bantuan modal serta latihan semula bagi menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan hidup.
Sasaran program turut diperluas kepada bekas banduan, penagih dadah pulih dan individu yang dirujuk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWS) dengan matlamat membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan melalui intervensi sosial dan sokongan perniagaan kecil berasaskan kemahiran yang dipelajari semasa dalam tahanan.
Bantuan LIFE merangkumi peruntukan one-off sehingga RM5,000 bagi tujuan ekonomi, kesihatan atau pendidikan di samping pelaksanaan program keibubapaan, pasca perkahwinan serta kesejahteraan wanita muda bagi memperkukuh institusi keluarga.
Sehingga Mac 2025, seramai 185 peserta telah menerima manfaat program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM863,174.39. Bagi tahun 2023 sahaja, sejumlah RM3.75 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan program LIFE. – TVS