KUCHING, 8 Mei: Sarawak dijangka mula merasai kesan Monsun Barat Daya hanya selepas dua hingga tiga minggu daripada tarikh permulaan fasa tersebut iaitu bermula 10 Mei ini.
Pengarah MET Malaysia Sarawak, Khairul Najib Ibrahim dalam satu kenyataan kepada TVS memaklumkan, tempoh peralihan tersebut dijangka membawa pengurangan jumlah hujan yang ketara seperti yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Menurut MET Malaysia, Monsun Barat Daya dijangka bermula pada Sabtu ini dan berlanjutan sehingga September depan dengan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau Malaysia.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, sepanjang tempoh monsun tersebut, kelembapan udara akan berada pada tahap rendah disebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sekaligus membawa kepada jumlah hujan yang lebih rendah di kebanyakan kawasan.
“Bagi Sarawak, walaupun ianya bermula 10 Mei, kesannya mungkin akan hanya terasa selepas lebih kurang dua ke tiga minggu dari tarikh tersebut.
“Seperti juga di kawasan-kawasan yang lain, Sarawak juga akan mengalami jumlah hujan yang berkurangan dalam tempoh tersebut,” katanya.
Dr. Mohd Hisham turut menjelaskan negara berisiko mengalami fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk mengelakkan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan pencemaran udara, selain menyarankan agar orang ramai menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh Monsun Barat Daya ini.
“Sila dapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia serta menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” ujarnya. – TVS