Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Adam Yii Siew Sang pada sesi lawatan kerjasama ekonomi Miri-Brunei di Miri, hari ini. Foto (TVS)

Kerjasama strategik Brunei-Miri pacu pembangunan Kenyalang Smart City

ByVanessa Enjop

MIRI, 8 Mei: Hubungan ekonomi antara Miri dan Brunei dijangka memasuki fasa baharu apabila pelabur utama kedua-dua pihak mengadakan sesi libat urus berprofil tinggi bagi meneroka potensi kerjasama rentas sempadan, khususnya dalam pembangunan Kenyalang Smart City (KSC).

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, pertemuan ini bukan sahaja mencerminkan hubungan geografi yang rapat antara Miri dan Brunei, malah melambangkan hasrat bersama untuk memperkukuh kerjasama ekonomi yang lebih strategik.

“Lawatan ini bukan sahaja mencerminkan hubungan geografi yang rapat antara kita, malah yang lebih penting, ia melambangkan hasrat bersama untuk memperkukuh hubungan ekonomi, menggalakkan kerjasama perniagaan, dan meneroka usaha sama yang boleh membawa manfaat bersama kepada Miri dan Brunei,” katanya ketika berucap pada Sesi Brunei-Miri Economic Collaboration di sini, hari ini.

Menurutnya, Miri sebagai bandar kedua terbesar di Sarawak sedang melalui proses transformasi pesat dengan sektor ekonomi utama seperti pelancongan, minyak dan gas, pertanian, tenaga hijau dan pendidikan yang dilihat mampu membuka lebih banyak ruang pelaburan.

“Kini tiba masanya untuk kita mengangkat hubungan ini daripada aktiviti ekonomi tidak formal kepada satu bentuk kerjasama yang lebih tersusun dan strategik.

“Sesi dialog kita pada hari ini merupakan platform untuk kita berinteraksi secara konstruktif, bertukar pandangan serta mengenal pasti sektor-sektor utama yang boleh kita terokai bersama demi memacu pembangunan mampan dan kemakmuran bersama,” tambahnya.

Sesi ini turut menghimpunkan lebih 30 tokoh perniagaan dan pembuat dasar dari Brunei yang dilihat berminat untuk meneroka potensi pelaburan langsung asing (FDI), perdagangan rentas sempadan dan pembangunan pelancongan melalui ekosistem pintar yang ditawarkan oleh KSC.

Dengan kedudukan strategik Miri serta kemudahan komersial dan infrastruktur bertaraf antarabangsa, kolaborasi ekonomi ini dijangka mewujudkan sinergi baharu yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan