KUCHING, 8 Mei: Tindakan pantas Unit Penguatkuasaan dan Kawalan Persempadanan (UPKP) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak berjaya mematahkan cubaan menyeludup manusia di Kampung Biawak, Lundu.
JIM Sarawak dalam kenyataan menyatakan, dalam operasi tersebut, pihak berkuasa mengesan pengerakan mencurigakan lima individu yang dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sedang keluar dari kawasan hutan dan menaik sebuah kenderaan.
Menurut kenyataan tersebut, kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan itu cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.
“Namun, dengan kecekapan anggota, kenderaan tersebut berjaya dipintas dan ditahan di kawasan Batu Kawa. Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lima PATI tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” menurut kenyataan tersebut.
Berdasarkan siasatan awal, warga asing tersebut dipercayai membayar sejumlah wang antara RM400 hingga RM500 seorang kepada sindiket penyeludupan untuk dihantar ke sekitar Bandar raya Kuching.
“Sindiket ini dipercayai menggunakan laluan tidak sah melalui kawasan hutan bagi mengelak daripada pemeriksaan di pintu masuk diwartakan,” jelas kenyataan tersebut.
Seramai lima PATI warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai transporter ditahan manakala sebuah kenderaan dan telefon bimbit turut dirampas.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi kesalahan transporter dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan PATI,” jelas kenyataan tersebut.-TVS