LAHAD DATU, 8 Mei: Sebuah bot nelayan asing yang dipercayai menjalankan aktiviti perikanan haram di perairan Felda Sahabat, Tungku, disita Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan anggaran nilai sitaan mencecah RM300,000.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata bot berwarna putih biru tanpa nombor pendaftaran itu dikesan kira-kira 4.1 batu nautika dari Tanjung Tungku, sekitar jam 10.30 pagi semalam.
Katanya, bot berkenaan dikesan oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin menerusi Operasi Pluto Timur 2/2013 dan Ops Tiris 3.0.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun berada di atas bot berkenaan dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit sah untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Dzulfikhar, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
Beliau berkata, tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras kegiatan pencerobohan perairan negara dan memastikan sumber laut negara tidak terus dieksploitasi secara haram.
“Maritim Malaysia komited untuk memperkukuh penguatkuasaan maritim dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan atau pelanggaran undang-undang di laut,” katanya.