Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ops Gempur Sasar dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia di seluruh negara, semalam. Foto JIM Sarawak

16 PATI ditahan di dua tapak pembinaan

KUCHING, 8 Mei: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di dua tapak pembinaan sekitar Kuching, semalam.

Operasi yang bermula jam 9 pagi itu melibatkan seramai 35 anggota penguat kuasa pelbagai pangkat sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Ops Gempur Sasar yang dijalankan secara serentak di seluruh negara.

Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, seramai 113 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan terdiri daripada 102 lelaki dan 11 wanita.

“Pecahan warganegara menunjukkan enam lelaki adalah warganegara Bangladesh manakala selebihnya iaitu 96 lelaki dan 11 wanita merupakan warganegara Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 16 individu yang kesemuanya warga Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada 11 lelaki dan lima wanita yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” ujarnya.

Beliau berkata, operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan JIM dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen serta menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau turut menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sahih dan bertanggungjawab.

“Setiap maklumat amat bermakna dalam usaha bersama menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara,” jelasnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan