Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jerip merakam kenangan selepas mempengerusikan Mesyuarat Focus Group Geopark Trails Mapping of Tourism Product in Padawan di Pejabat Daerah Kecil Padawan Foto: UKAS

Warisan Bidayuh pacu pelancongan geopark Padawan

PADAWAN, 7 Mei: Daerah Padawan bersedia muncul sebagai destinasi pelancongan unggul Sarawak menerusi projek pemetaan produk pelancongan geopark yang berteraskan warisan budaya masyarakat Bidayuh serta kekayaan alam semula jadi tropika.

Projek strategik ini diterajui oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil, yang mempengerusikan Mesyuarat Focus Group Geopark Trails Mapping of Tourism Product in Padawan di Pejabat Daerah Kecil Padawan pada Selasa.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), pemimpin komuniti serta penggiat pelancongan tempatan melalui projek Ranee Atlas yang diterajui pasukan penyelidik UiTM. Ia menyasarkan pembangunan laluan pelancongan bersepadu yang meliputi lebih 48 air terjun, 50 gua serta kampung-kampung Bidayuh bertema – lengkap dengan naratif sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat setempat.

Jelas Jerip, antara tarikan utama termasuklah Air Terjun Penghuntan, gua-gua prasejarah, dan ekosistem hutan hujan tropika. Namun, kekuatan sebenar pelancongan Padawan terletak pada komuniti Dayak Bidayuh itu sendiri.

“Budaya mereka, muzik, kraf tangan, makanan serta kisah ketahanan hidup mereka menjadi nadi pelancongan ini. Tema ‘The Bidayuh Survived’ akan menjadi asas pembangunan pelancongan Padawan – memperkukuh jati diri, memelihara warisan dan mencipta peluang baharu,” ujarnya.

Kampung Annah Rais tambahnya dikenal pasti sebagai pusat utama pameran budaya Bidayuh, manakala kampung-kampung lain seperti Kampung Sikog, Kampung Bunuk dan beberapa lagi akan dimajukan dengan identiti pelancongan tersendiri.

“Pembangunan itu akan disokong oleh infrastruktur digital, pembinaan amphitheatre, serta pelaksanaan program pelancongan berasaskan alam dan pengembaraan seperti Padawan Raft Safari, di bawah kendalian Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA),” tambahnya.

Jerip memberitahu projek ini bukan sahaja dijangka merancakkan ekonomi luar bandar, malah berpotensi menjenamakan Padawan sebagai destinasi pelancongan lestari yang kaya dengan nilai budaya dan alam semula jadi.

“Tanpa rakyat, sesuatu lokasi hanya tinggal ruang kosong. Namun dengan rakyat, ia menjadi hidup, bermakna dan penuh cerita untuk dikongsikan kepada dunia,” tambah beliau lagi.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan