KUALA LUMPUR, 7 Mei: Polis menahan suami kepada wanita yang maut dicampak dari sebuah van di tepi Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) berdekatan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar pada Selasa, bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner (ACP) Aidil Bolhassan berkata tangkapan dibuat pukul 6 petang semalam, di Taman Kinrara, Puchong.
Jelas beliau, suspek berusia 50 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang itu mengaku bertengkar dengan isterinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Pasangan berkenaan telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.
“Saringan ujian air kencing suspek positif methamphetamine,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.58 petang semalam, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki yang memaklumkan dia melihat seorang wanita tercampak dari sebuah van di R&R Awan Besar dan pemandu melarikan diri selepas kejadian itu.
Polis semalam mengesahkan mangsa merupakan seorang wanita Cina tempatan berusia 44 tahun yang berasal dari Ipoh, Perak.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan. – TVS.