Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ordinan Buruh Sarawak memperuntukkan bahawa semua pekerja dalam apa jua sektor ekonomi, dilindungi kebajikannya. Foto hiasan Envato

Skop perlindungan pekerja diperluas menerusi pindaan Ordinan Buruh Sarawak

ByIzzah Kamilah Yunus

KOTA SAMARAHAN, 7 Mei: Selama lebih 20 tahun tanpa sebarang pindaan, Ordinan Buruh Sarawak (SLO) kini mengalami transformasi ketara yang bukan sahaja meluaskan skop perlindungan kepada semua pekerja malah menamatkan diskriminasi berdasarkan gaji dalam perundangan buruh negeri.

Dahulu hanya pekerja bergaji rendah dilindungi undang-undang tetapi hari ini semua lapisan tenaga kerja Sarawak dari petani hingga ke jurutera menerima perlindungan sama di bawah SLO yang berkuat kuasa 1 Mei 2025.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dayang Asmah Awang Hamdan, sebelum pindaan tersebut, ordinan hanya terpakai kepada golongan pekerja dengan pendapatan RM2,500 ke bawah, yang kebanyakannya tertumpu dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan asas.

“Apabila pindaan ini dilakukan, pemakaian ordinan diperluaskan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji dan jenis pekerjaan.

“Kebiasaannya, golongan ini berada dalam sektor pertanian dan pembuatan yang merangkumi subsektor seperti produk tekstil, pakaian dan kulit serta sektor perkhidmatan, khususnya dalam bidang makanan dan minuman serta penginapan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama TVS di sini, hari ini.

Dayang Asmah Awang Hamdan. Foto Ezzany Yusof (TVS)

Ujarnya dengan pindaan ini, semua sektor ekonomi termasuk sektor berpendapatan tinggi dan pekerjaan berkemahiran kini turut dilindungi SLO dan ia dilihat menyeluruh dan menyatukan perlindungan merentas tiga kategori utama dalam sektor ekonomi iaitu sektor primer, sekunder dan tertier.

Katanya lagi, walaupun pelaksanaan ordinan ini baru sahaja dikuatkuasakan, namun perubahan dari segi pematuhan hak pekerja sudah mula kelihatan terutamanya dalam sektor yang sebelum ini kurang tertakluk kepada peraturan buruh.

Dalam masa sama, mengulas dari sudut kesan terhadap kadar pengangguran, beliau yang juga Penyelaras Program Hubungan Industri dan Pekerjaan UNIMAS menjangkakan bahawa peluasan perlindungan ini bakal menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk menyertai sektor pekerjaan formal.

1 Mei lalu menyaksikan pindaan terhadap Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan 2025) telah dilaksanakan sekali gus menandakan langkah penting dalam memperkukuh hak pekerja di wilayah ini.

Pindaan ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 12 Disember 2024 memperluaskan perlindungan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.

Menerusi pindaan itu, Sarawak kini akan mendapat manfaat seperti pengurangan waktu kerja, kenaikan cuti bersalin dan aturan kerja anjal antaranya waktu bekerja kini dikurangkan kepada 45 jam seminggu, berbanding 48 jam sebelum ini, manakala cuti bersalin dinaikkan kepada 98 hari berbanding 60 hari sebelum ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan