PUTRAJAYA, 7 Mei: Kerajaan akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) kepada penjawat awam bagi memastikan kelancaran penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan perkara itu bagi mengurangkan kesesakan serta menjamin kelancaran pergerakan delegasi antarabangsa.
“Hari ini, Mesyuarat Jemaah Menteri telah menerima sedikit maklumat dan taklimat daripada Menteri Luar mengenai kenyataan beliau baru-baru ini berhubung isu trafik yang dijangka berlaku semasa sidang berlangsung.
“Kami dimaklumkan bahawa semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan penjawat awam di lokasi atau jabatan yang berkaitan supaya bekerja dari rumah,” katanya dalam sidang media mingguan di kementeriannya, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, JPA telah mengeluarkan kenyataan rasmi membenarkan penjawat awam yang bertugas di kawasan terlibat untuk melaksanakan tugasan dari rumah.
Katanya, langkah itu melibatkan jabatan yang terletak dalam radius penganjuran sidang berkenaan.
Kata beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengenal pasti sekolah yang berada di laluan utama persidangan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sementara itu Fahmi memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyarankan agar syarikat swasta, terutama yang beroperasi di kawasan utama mempertimbangkan pelaksanaan BDR sepanjang tempoh sidang berlangsung.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan maklumat terperinci berhubung laluan utama yang akan digunakan oleh delegasi antarabangsa, termasuk kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLCC, Lapangan Terbang Sultan Aziz Shah dan Pangkalan TUDM Subang,” katanya.
Sidang itu tambah Fahmi akan menyaksikan tiga persidangan utama dengan fokus utama kerajaan untuk membincangkan hal berkaitan ekonomi serta kerjasama bersama Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) dan juga China. -TVS.