KUCHING, 7 Mei: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh autonomi pendidikannya dengan menjadikan laporan Inter-Governmental Committee (IGC) sebagai asas pelaksanaan hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, MA63 merupakan dokumen sah dari sudut perundangan yang memperkukuh kuasa kerajaan negeri untuk menuntut hak-hak berkaitan pentadbiran, termasuk dalam bidang pendidikan.
“MA63 berasaskan laporan IGC, dan dokumen itu kini mempunyai status undang-undang. Kami telah mengemukakan 15 tuntutan yang dibentangkan di persidangan dewan rakyat, dan setakat ini kemajuannya sangat memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat Kerjasama Antara Kolej Universiti i-Cats Dengan Pihak Industri dan Institusi TVET di sini, pada hari ini.
Antara tuntutan utama Kerajaan Sarawak ialah pengiktirafan penggunaan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negeri serta pemindahan kuasa kelulusan projek daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.
Sementara itu, Annuar turut menyifatkan kebenaran yang diberikan kepada Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan peperiksaan sendiri bagi murid Tahun Enam, menjadi bukti kejayaan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Ujian ini akan dijalankan mengikut piawaian antarabangsa dengan kerjasama Cambridge University Press and Assessment, menjadikan Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai peperiksaan sendiri selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di peringkat nasional,” katanya.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan peperiksaan itu tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.
Perenggan 17 dalam laporan IGC turut memperuntukkan bahawa segala dasar pendidikan di Sarawak perlu dirujuk dan dibincangkan bersama kerajaan negeri, meskipun Pengarah Pendidikan Negeri adalah pegawai persekutuan, maklum beliau.
Turut hadir Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS (i-CATS), Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. – TVS