KUCHING, 7 Mei: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Selasa menerima taklimat mengenai landskap perdagangan dan pelaburan Perancis semasa lawatan rasmi beliau ke Paris.
Taklimat berkenaan disampaikan oleh Kaunselor Ekonomi merangkap Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Paris, Zuhaila Sedek, yang menjelaskan peranan penting Perancis sebagai pintu masuk strategik ke pasaran Eropah.
Menurut kenyataan pejabat Timbalan Premier Sarawak, taklimat itu turut memberi tumpuan kepada peluang sedia ada untuk Malaysia, termasuk Sarawak, dalam memanfaatkan pasaran serantau melalui pengukuhan hubungan ekonomi dengan Perancis.
“MATRADE Paris giat membantu syarikat Malaysia, termasuk dari Sarawak, dalam memperluas operasi dan akses pasaran mereka di rantau ini.
“Antara produk tempatan yang mendapat sambutan ialah kraf tangan Sarawak yang dikenali sebagai barangan gaya hidup,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Pada majlis yang sama, Awang Tengah turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat tempatan, Wireco Sdn Bhd dan syarikat Perancis, Blumorpho.
Perjanjian itu membuka laluan kepada kerjasama strategik dan kewangan dalam memperluas penggunaan teknologi pengurusan sisa makanan WASTENOT ke pasaran utama dunia.
Kerjasama tersebut akan merangkumi pembangunan model kolaborasi kewangan, penglibatan bersama pihak industri dan institusi serta penerokaan kepada pelbagai mekanisme sokongan dari Perancis, Eropah dan peringkat antarabangsa.
Langkah itu juga selaras dengan usaha mempercepat peralihan ke arah ekonomi kitaran dan memudahkan akses kepada pasaran kredit karbon sejajar dengan agenda teknologi lestari Sarawak. – TVS