KUCHING, 7 Mei: Sarawak memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa dalam usaha memajukan industri berteknologi tinggi apabila mengadakan pertemuan strategik dengan firma pelaburan global Ardian di ibu negara Perancis pada Selasa.
Delegasi negeri yang diketuai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengadakan pertemuan dengan wakil dari Hy24 iaitu cabang pelaburan Ardian dalam sektor hidrogen serta pemain utama dalam sektor semikonduktor.
Pertemuan itu antara lain bertujuan menarik pelaburan asing serta mempercepat pembangunan ekosistem semikonduktor dan teknologi hidrogen bersih di Sarawak.
“Kita mempunyai kelebihan dari segi sumber tenaga boleh diperbaharui yang belum dimanfaatkan sepenuhnya termasuk potensi tenaga hidro sehingga 20 gigawatt.
“Gabungan kekuatan ini dengan kepakaran dan jaringan antarabangsa Ardian membuka peluang besar untuk kerjasama jangka panjang terutamanya dalam membina asas industri yang kukuh dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarawak turut membentangkan kepada Ardian perkembangan terkininya dalam sektor semikonduktor termasuk kerjasama dengan Centre for Secure Intelligent Systems atau CSA Catapult dari United Kingdom.
Selain membincangkan potensi pelaburan dan pemindahan teknologi, kedua-dua pihak turut berbincang tentang pewujudan rantaian bekalan hiliran yang dapat memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan (PKS).
Ardian menyatakan komitmen untuk menilai secara lebih mendalam beberapa projek strategik Sarawak dalam sektor-sektor terbabit dan meneroka kemungkinan melabur melalui kerjasama dengan agensi negeri InvestSarawak. – TVS