SARIKEI, 7 Mei: Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Bayong Fasa 2B yang menelan kos sebanyak RM68.4 juta kini siap sepenuhnya, sekali gus membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Sarawak dalam menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu amat signifikan dalam meningkatkan kapasiti loji daripada 70 juta liter sehari kepada 100 juta liter sehari, serta menambah baik sistem bekalan air sedia ada.
“Selain Sarikei, kawasan lain yang turut mendapat manfaat daripada projek ini termasuk Tanjung Manis, Belawai dan Pulau Bruit,” katanya kepada media semasa lawatan ke Pusat Rawatan Loji Bayong, hari ini.
Skop projek ini merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 30 juta liter sehari, pembinaan muka sauk, pemasangan saluran paip air mentah serta kerja-kerja berkaitan.
Tambah beliau, bagi menjamin bekalan air yang berkualiti dan berterusan di Bahagian Sarikei, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak akan terus berusaha memastikan projek-projek yang sedang dalam pelaksanaan disiapkan mengikut jadual.
“Usaha ini juga akan memperluas liputan bekalan air dan menyelesaikan isu berkaitan secara menyeluruh serta berkesan,” katanya.
Menurut Julaihi, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta JBALB selaku agensi pelaksana sentiasa komited untuk memastikan sistem dan infrastruktur bekalan air di Sarikei sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan Projek Bekalan Air Julau Pakej 1 yang menelan kos RM25.7 juta kini sedang giat dilaksanakan.
Projek tersebut melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 3.4 juta liter sehari, pembinaan muka sauk air mentah, pembinaan stesen pam air mentah serta pemasangan saluran paip baharu sepanjang 28 kilometer.
“Apabila siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2025, projek ini akan memberikan manfaat besar kepada penduduk di Julau dan kawasan sekitarnya menerusi bekalan air yang lebih konsisten dan berterusan,” ujarnya. – TVS