ABU DHABI, 7 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak meneliti model terbaik dalam pembangunan lapangan terbang antarabangsa yang baharu di Kuching.
Dalam lawatan tersebut, beliau memuji aspek seni bina serta pengurusan penumpang dan penggunaan teknologi canggih yang menjadikan lapangan terbang itu antara yang terbaik di dunia.
“Kita telah melihat bagaimana Abu Dhabi membangunkan lapangan terbang yang begitu canggih, bukan sahaja dari segi seni bina yang mesra alam malah dari aspek pengurusan penumpang yang sangat efisien,” katanya selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan aspek seni bina Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed yang tersenarai dalam indeks bangunan hijau sekaligus memberi inspirasi kepada Sarawak dalam merangka reka bentuk lapangan terbang baharu dengan mengambil kira sejarah, warisan dan latar budaya tempatan.
“Kita bukan sahaja belajar tentang seni bina, tetapi juga tentang bagaimana pengurusan operasi dilakukan secara menyeluruh. Kapasiti lapangan terbang ini adalah 45 juta penumpang setahun, sedangkan kita merancang bermula dengan 15 juta dan akan berkembang mengikut keperluan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai model pelaksanaan projek lapangan terbang baharu di Sarawak, Abang Johari berkata Sarawak sedang menilai pendekatan terbaik termasuk potensi kerjasama antara sektor awam dan swasta.
“Sebagai contoh, kita lihat model pelabuhan Abu Dhabi dilaksanakan melalui gabungan sektor awam dan swasta. Ini juga antara pertimbangan kita untuk pembangunan lapangan terbang di Tanjung Embang. Kita mahu memilih model terbaik dari segi kos, pelaksanaan dan keberkesanannya,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan pentingnya Sarawak merancang pembangunan berdasarkan teknologi masa depan seperti sistem biometrik, pengecaman wajah dan mungkin teknologi pengenalan DNA yang lebih efisien bagi tujuan keselamatan dan kelancaran imigresen.
“Kerana Sarawak masih dalam fasa membangun, kita mempunyai kelebihan untuk bermula dengan teknologi terkini tanpa perlu mengubah sistem lama,” katanya.
Lawatan ini merupakan antara siri awal tinjauan yang akan menyumbang kepada perancangan strategik pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu Kuching sebagai hab penerbangan utama yang akan menghubungkan Sarawak ke destinasi serantau. – TVS