KUCHING, 7 Mei: Kerajaan Sarawak mengambil langkah progresif dalam memperkukuh masa depan pendidikan dengan memperkenalkan dasar pendidikan tinggi percuma yang bakal bermula tahun 2026, khusus bagi pelajar yang mengikuti 64 kursus terpilih di universiti milik kerajaan negeri.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu pelajar yang layak untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, namun tidak berpeluang untuk berbuat demikian atas faktor kewangan.
“Kita tidak pernah menjanjikan perkara ini dalam mana-mana pilihan raya umum. Ia bukan sebahagian daripada propaganda politik kami. Kami percaya perkara ini penting untuk rakyat dan perlu dilaksanakan. Kami tidak akan berjanji jika ia belum boleh dilaksanakan.
Pendidikan percuma penting kerana kerajaan negeri mahu memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang sama.
“Kesaksamaan bermakna semua orang sedar dan ada akses kepada pendidikan. Setiap pelajar berhak memilih apa yang mereka ingin pelajari,” jelas beliau ketika berucap di Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat Kerjasama Antara Kolej Universiti i-Cats Dengan Pihak Industri dan Institusi TVET di Kuching, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS (i-CATS), Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau.
Berkata lanjut, Annuar memberitahu bahawa pendidikan tinggi percuma turut bakal meliputi pengecualian penuh yuran dalaman bagi kursus-kursus terpilih, sekaligus membuka peluang lebih luas kepada pelajar dari pelbagai latar belakang untuk melanjutkan pelajaran mengikut minat dan kelayakan masing-masing.
Dalam masa yang sama, pelajar juga diberi kebebasan memilih bidang pengajian yang mereka minati, tanpa paksaan atau kekangan akibat kapasiti institusi pengajian awam.
“Hanya kurang 20 peratus pelajar yang mendapat kursus pilihan mereka daripada senarai lapan pilihan yang dimohon. Manakala 80 peratus diberikan kursus secara automatik yang tidak semestinya sesuai atau bermanfaat,” ujar Annuar.
Beliau menambah, dasar ini penting untuk memastikan pelajar Sarawak tidak tersasar daripada hala tuju pembangunan negeri, terutamanya dalam menjayakan visi teknologi dan pembangunan masa depan.
Sementara itu, dalam usaha memastikan kesaksamaan dan keadilan pendidikan, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan tambahan berjumlah RM15,000 kepada pelajar yang layak, iaitu mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 sebulan.
“Pendidikan tinggi percuma bukan sahaja bermaksud pengecualian yuran, tetapi juga bantuan sokongan kepada mereka yang benar-benar memerlukan supaya mereka dapat belajar dan berjaya seperti pelajar lain,” ujar Annuar. – TVS