ABU DHABI, 7 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pembangunan pesat Pelabuhan Khalifa di Abu Dhabi menjadi contoh terbaik kepada Sarawak dalam merancang pelabuhan masa depan yang lebih moden dan berdaya saing.
Menurut beliau, lawatan bersama delegasi kerajaan Sarawak ke pelabuhan itu hari ini membuka ruang kerjasama strategik khususnya dalam pembangunan pelabuhan dan logistik.
“Saya dapati transformasinya sangat luar biasa. Daripada sebuah pelabuhan kecil kepada sebuah pelabuhan bertaraf antarabangsa yang menggunakan teknologi terkini dan peralatan moden. Sepanjang lawatan, kami didedahkan kepada sejarah serta perkembangan pelabuhan ini dalam tempoh 12 hingga 13 tahun,” katanya selepas melawat Pelabuhan Khalifa Abu Dhabi di sini, hari ini.
Tambah beliau, Pelabuhan Khalifa antara pelabuhan utama di Abu Dhabi yang dibina di tengah laut sekaligus menjadi satu pendekatan yang dilihat berpotensi untuk dilaksanakan di Kuching pada masa akan datang.
Katanya lagi, Pelabuhan Abu Dhabi kini memainkan peranan penting sebagai hab tengah yang menghubungkan Eropah, Afrika dan Asia Pasifik.
“Sarawak mempunyai kelebihan dari segi lokaliti dalam pasaran Asia Pasifik. Dengan jalinan erat bersama pelabuhan antarabangsa seperti Abu Dhabi, kita mampu menjadi pemain utama dalam jaringan logistik serantau. Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Sarawak untuk mengukuhkan kedudukannya di rantau Asia Pasifik dan kerjasama ekonomi rentas wilayah,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak amat menghargai kesediaan Abu Dhabi Ports Group untuk menjalin kerjasama dengan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dalam memperluas kapasiti pelabuhan di Samalaju.
“Melalui kerjasama ini, kita dapat mewujudkan rangkaian logistik antara pelabuhan di Sarawak khususnya Bintulu dengan pelabuhan antarabangsa di Abu Dhabi sekali gus membuka laluan lebih luas ke pasaran global,” jelasnya.
Terdahulu, Abang Johari menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik (MoU) antara BPHB dan Abu Dhabi Ports Group.
Kerjasama ini bertujuan untuk memupuk hubungan jangka panjang dalam pembangunan dan peningkatan infrastruktur pelabuhan, logistik maritim serta perkhidmatan berkaitan pelabuhan, bukan sahaja di Pelabuhan Bintulu tetapi juga berpotensi diperluaskan ke kawasan lain yang berkepentingan bersama.
Perjanjian tersebut dimeterai melalui pertukaran dokumen rasmi antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Abu Dhabi Ports Group, Ahmed Al Mutawa. – TVS