KABONG, 7 Mei: Masalah bekalan air terawat yang sering membelenggu penduduk Daerah Kabong dan kawasan sekitarnya dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang tahun 2026.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa yang memberangsangkan bagi projek pembinaan Sistem Kritikal di Loji Rawatan Air Lichok, yang kini mendahului jadual asal sebanyak 10 peratus.
“Dengan siapnya Sistem Kritikal pada Oktober ini, Loji Rawatan Air Lichok akan dapat menambah kapasiti pengeluaran air terawat sebanyak 10 juta liter sehari (JLH).
“Insya-Allah, masalah gangguan air yang sering berlaku di Kabong dan kawasan sekitar dijangka dapat diatasi selewat-lewatnya tahun hadapan,” katanya ketika ditemui media pada lawatan kerja rasmi beliau ke Loji Rawatan Air Bahagian Betong di sini, hari ini.
Julaihi menjelaskan, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM52.76 juta bagi kerja menaik taraf dan menggantikan paip lama serta uzur di seluruh Bahagian Betong, merangkumi jarak keseluruhan 88.11 kilometer.
Selain itu, di bawah Projek Bekalan Air Daerah Kabong, sebanyak 12 projek bernilai keseluruhan RM107.5 juta sedang dilaksanakan, yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, projek pembinaan tangki aras tinggi di Balai Ruai, Saratok yang menelan kos RM13 juta kini telah mencapai 30.42 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan. – TVS