KUALA LUMPUR, 7 Mei: Kementerian Luar sedang mengkaji keperluan untuk membangunkan sebuah dewan persidangan bertaraf antarabangsa yang baharu bagi sebagai venue penganjuran persidangan bertaraf dunia pada masa depan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu telah dicadangkan kepada barisan kabinet dan menerima maklum balas positif.
Ketika ini jelas beliau cadangan itu masih di peringkat awal.
“Malaysia mungkin menjadi tuan rumah kepada beberapa persidangan peringkat antarabangsa pada masa akan datang, oleh itu kita perlu tempat persidangan yang baharu dan lebih baik,” katanya.
Mohamad ditemui media selepas merasmikan Penutupan Latih Amal Keselamatan Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, lokasi penganjuran persidangan antarabangsa sedia ada sudah lama dan kurang sesuai, malah perlu dilihat dari pelbagai aspek terutama keselamatan.
Mohamed berkata pihaknya juga akan mendapatkan pandangan daripada kementerian lain dan pihak keselamatan terhadap cadangan tersebut. – TVS