KUALA LUMPUR, 7 Mei: Kumpulan Affin mencatat sejarah baharu apabila menerima penarafan kredit antarabangsa pertamanya iaitu A3 dengan prospek stabil daripada agensi penarafan global terkemuka, Moody’s Ratings.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pencapaian tersebut menjadi penanda aras penting dalam perjalanan 50 tahun Kumpulan Affin, yang mencerminkan kekuatan asas kewangan kumpulan, pengurusan aset yang berhemat, kedudukan modal yang kukuh, serta hubungan institusi yang erat dengan Kerajaan Sarawak, pemegang saham utama dengan kepentingan sebanyak 31.25 peratus dalam bank tersebut.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, penarafan ini bukan sahaja mengiktiraf kekuatan kewangan Affin, tetapi juga memberi keyakinan terhadap pelan transformasi strategik Axelerate 2028 (AX28) yang sedang giat dilaksanakan.
“Ini merupakan satu detik bersejarah bagi kami. Penarafan oleh Moody’s memberi pengiktirafan kepada asas kukuh yang telah kami bina selama ini. Ia turut menunjukkan kepercayaan pasaran terhadap jenama kami dan komitmen terhadap nilai ‘Always About You’,” katanya dalam kenyataan itu.
Tambah beliau, penarafan A3 ini juga akan membuka lebih banyak peluang pembiayaan dan pelaburan antarabangsa, khususnya dalam bidang pembiayaan perdagangan, perbankan koresponden dan pasaran modal dolar Amerika Syarikat.
“Lebih penting lagi, ia mengukuhkan kedudukan kami di peringkat global sambil mempercepat transformasi ke arah perkhidmatan pelanggan unggul, kepimpinan digital dan perbankan yang bertanggungjawab serta mampan,” ujarnya lagi.
Dalam kenyataan itu juga, Moody’s menyatakan bahawa Kumpulan Affin menunjukkan beberapa kekuatan utama seperti kualiti aset yang sihat dengan nisbah pinjaman Tahap 3 hanya 1.9 peratus dan pendedahan minimum kepada peminjam tunggal.
Kumpulan ini juga memiliki tahap pemodalan yang kukuh dengan nisbah ekuiti ketara kepada aset berwajaran risiko sebanyak 14.5 peratus pada akhir 2024.
Selain itu, pembiayaan dan kecairan juga berada pada tahap yang mencukupi, disokong oleh pertumbuhan deposit CASA.
Keuntungan juga menunjukkan peningkatan yang konsisten, hasil kecekapan operasi serta pelaksanaan inisiatif digital yang berterusan.
Moody’s turut menyatakan bahawa pendedahan Affin terhadap sektor-sektor yang mudah terjejas dengan ketidaktentuan luar seperti tarif perdagangan Amerika Syarikat adalah terhad.
Bagaimanapun, mereka mengakui terdapat sedikit pendedahan kepada risiko pasaran melalui urus niaga mata wang asing dan sekuriti.
Dengan penarafan ini, Affin kini berdiri sebaris dengan institusi kewangan terkemuka negara, sekali gus meningkatkan kredibiliti serta akses kepada pasaran antarabangsa.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Affin mencatat keuntungan sebelum cukai dan selepas zakat sebanyak RM701 juta, meningkat 35.3 peratus berbanding RM518.3 juta pada tahun sebelumnya.
Jumlah pinjaman dan pembiayaan turut meningkat 8.1 peratus kepada RM72 bilion, manakala jumlah aset keseluruhan mencecah RM111.8 bilion. – TVS