MIRI, 7 Mei: Kuching City FC-Miri mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan Penang FC II 2-0 dalam aksi Piala Presiden 2025 yang berlangsung di Kelab Rekreasi Petroliam (KRP) Lutong, di sini, hari ini.
Kemenangan itu merupakan suntikan moral penting buat skuad muda bimbingan Mohd Hakimi Man yang kini semakin bersemangat untuk meneruskan rentak positif dalam saingan liga.
Menurut Mohd Hakimi, persiapan rapi termasuk analisis taktikal terhadap corak permainan lawan telah membuahkan hasil.
“Kami fokus sepenuhnya dalam persiapan bersama Kuching City FC. Analisis permainan lawan membantu kami mencipta peluang dan memanfaatkannya dengan baik,” katanya kepada TVS selepas tamat perlawanan.
Tambah beliau, kemenangan tersebut bukan sekadar kejayaan pasukan, tetapi juga penghargaan buat pihak pengurusan Kuching City FC dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (Miri FA) atas usaha sama membentuk pasukan berdaya saing.
“Masih ada 17 perlawanan lagi dan kami akan terus berusaha mengekalkan konsistensi serta memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Sementara itu, kapten pasukan, Arif Iskandar Siri, menyifatkan kemenangan pertama di laman sendiri sebagai motivasi besar untuk pemain.
“Kami sangat gembira, terutama dengan kemenangan di hadapan penyokong sendiri. Ini bukti usaha keras kami berbaloi,” katanya.
Arif turut menyeru penyokong untuk terus memberi sokongan kepada pasukan sama ada di tempat sendiri mahupun ketika beraksi di gelanggang lawan.
“Kami janji akan terus berusaha memperbaiki prestasi dan membawa nama Kuching City FC-Miri ke tahap lebih tinggi dalam liga ini,” tambahnya.