KUCHING, 7 Mei: Kolej Universiti i-CATS kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik sebagai langkah merealisasikan hasrat mencapai status universiti penuh menjelang tahun hadapan.
Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, usaha berterusan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan institusi itu, malah membuka ruang lebih luas kepada pendidikan tinggi yang berdaya saing dan berimpak tinggi di Sarawak serta rantau Borneo.
“Antara langkah utama termasuk penubuhan dua fakulti baharu, i-CATS Digital Business School, pengambilan pensyarah berpengalaman, pengukuhan kerjasama industri dan institusi TVET, peningkatan keupayaan penyelidikan serta penaiktarafan infrastruktur,” katanya semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat Kerjasama antara i-CATS dan pihak industri serta institusi TVET, hari ini.
Sementara itu, i-CATS turut diiktiraf kerajaan tempatan sebagai rakan strategik dalam melahirkan tenaga mahir tempatan khususnya dalam pembangunan tenaga mahir dalam bidang-bidang baharu seperti bahan komposit, kulit sintetik berasaskan gas, avionik pintar, instrumetasi AI serta sistem perjalanan digital dan perkhidmatan penerbangan berintegrasi.
“Airbus bersetuju untuk bekerjasama dengan Kolej University i-CATS dalam membangunkan program latihan dan kurikulum berkaitan aeroangkasa, sekaligus mengiktiraf peranan i-CATS sebagai rakan strategik dalam membangunkan tenaga mahir tempatan”, jelasnya.
Dalam mendepani era digital, jelasnya i-CATS turut mengorak langkah menerusi pendekatan Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) serta Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), seiring dengan pertumbuhan pesat pasaran pendidikan digital global yang diunjurkan mencecah nilai USD33.2 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurut beliau, komitmen i-CATS turut terserlah melalui kerjasama bersama 22 institusi TVET termasuk Politeknik, Kolej Vokasional, Kolej Komuniti, ILP, ADTEC, IKM dan IKBN yang akan membentuk satu ekosistem pendidikan menyeluruh, menyokong mobiliti akademik dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Langkah ini akan menyediakan laluan akademik yang lebih jelas dan inklusif untuk pelajar menyambung pengajian hingga ke peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), sekali gus merapatkan jurang antara latihan teknikal dan pendidikan tinggi,” katanya. -TVS