DALAT, 7 Mei: Aspek pendidikan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak dan tidak hanya disandarkan kepada peranan sekolah semata-mata.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pendidikan merupakan kunci utama dalam mengubah kehidupan seseorang.
“Peluang pendidikan pada masa kini jauh berbeza berbanding dahulu, khususnya bagi masyarakat luar bandar. Sekarang, lebih mudah untuk mendapatkan akses kepada pendidikan.
“Oleh itu, peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya ketika berucap dalam Program PETRONAS Memperkasakan Ilmu: Program Jangkauan Luar MLNG Bestrari di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kut Tengah, di sini, hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyeru semua pihak agar berganding bahu dalam usaha meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak.
“Dengan kerjasama semua pihak, sudah tentu kita dapat mencapai keputusan yang lebih cemerlang demi masa depan anak-anak kita,” ujarnya.
Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja mencerminkan komitmen MLNG terhadap pembangunan pendidikan luar bandar, malah menunjukkan semangat keprihatinan korporat terhadap komuniti setempat. -TVS