ABU DHABI, 6 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selamat tiba di Abu Dhabi pada jam 9:11 malam waktu tempatan bagi memulakan lawatan kerja rasminya di sini yang menyasarkan pengukuhan infrastruktur logistik serta potensi pelaburan strategik untuk Sarawak.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin.
Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu merangkap Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching, Azizul Annuar Adenan serta delegasi kementerian berkaitan.
Abang Johari dijadual mengadakan lawatan ke Pelabuhan Khalifa Abu Dhabi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed pada esok hari (7 Mei).
Lawatan kerja ini dilihat sebagai satu langkah proaktif Sarawak dalam memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global khususnya dalam sektor logistik, pelabuhan dan penerbangan selaras dengan misi kerajaan negeri ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan ekonomi hijau menjelang 2030.
Untuk rekod, Pelabuhan Khalifa merupakan antara hab tercanggih di dunia dan menjadi contoh utama dalam pengurusan pelabuhan pintar berasaskan teknologi automasi serta kecerdasan buatan (AI).
Manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed dikenali sebagai lapangan terbang bertaraf dunia yang dijangka akan menjadi model dalam aspek pengurusan penumpang, kargo serta rangkaian penerbangan antarabangsa.
Selain itu, ia juga akan menjadi aspek penting dalam usaha Sarawak memperkasa jaringan penerbangan dan logistik domestik serta antarabangsa termasuk operasi syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak AirBorneo pada 2026. – TVS