JAKARTA, 7 Mei: Seramai 11 orang maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan sebuah lori dan van penumpang di Magelang, Jawa Tengah, Indonesia pada jam 10.30 pagi tadi.
Menurut maklumat daripada Pejabat SAR Wilayah Cilacap, kemalangan berlaku ketika sebuah lori cuba memotong van yang membawa sekumpulan penumpang di kawasan jalan menurun yang kemudiannya hilang kawalan, terbalik dan menghempap van berkenaan.
Ketua Pejabat SAR Cilacap, Abdullah, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan kejadian itu dan segera mengarahkan pasukan penyelamat ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Tidak lama selepas kejadian, pasukan kami terus digerakkan ke lokasi dan semua mangsa berjaya dipindahkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Purworejo untuk menerima rawatan lanjut.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. – TVS