Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebelum upacara persemadian itu, upacara sembahyang untuk mendiang diadakan di Gereja St Thomas yang dihadiri kira-kira 300 ahli keluarga, rakan karib dan wartawan yang pernah bekerja bersama mendiang. Foto Bernama

Wartawan veteran James Ritchie selamat disemadikan hari ini

ByBernama

KUCHING, 6 Mei: Jasad wartawan veteran Sarawak James Alexander Ritchie yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lepas selamat disemadikan dalam upacara pembakaran tertutup di Nirvana Memorial Park di Siniawan di sini hari ini.

Sebelum upacara persemadian itu, upacara sembahyang untuk mendiang diadakan di Gereja St Thomas di sini yang dihadiri kira-kira 300 ahli keluarga, rakan karib dan wartawan yang pernah bekerja bersama mendiang.

Mendiang James menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun di Hospital Umum Sarawak pada 11.40 pagi, Sabtu dan meninggalkan seorang isteri Tan Lee Fong, seorang anak perempuan dan seorang cucu perempuan.

Pemergian beliau meninggalkan kekosongan yang amat dirasai, bukan sahaja oleh ahli keluarga dan sahabat terdekat tetapi juga komuniti kewartawanan dan rakyat Sarawak.

James dikenali dengan karya-karya mendalamnya yang menyentuh isu budaya, sejarah dan perjuangan masyarakat pribumi, kini menjadi sebahagian daripada sejarah yang beliau sendiri pernah tulis.

Memulakan kerjaya kewartawanan sebagai wartawan kadet di The Straits Times di Kuala Lumpur ketika berusia 23 tahun, mendiang terus melakar kejayaan sehingga muncul sebagai seorang daripada wartawan terkemuka, khususnya di Sarawak.

Beliau pernah membuat liputan untuk pelbagai peristiwa besar dan kes berprofil tinggi, termasuk serbuan Tentera Merah Jepun ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 1975, penangkapan ‘Master of Disguise’ Lai See Kiaw serta penjenayah Wong Swee Chin yang dikenali sebagai Botak Chin.

Sepanjang kariernya juga, James memegang beberapa jawatan penting dalam bidang kewartawanan dan media, termasuk sebagai wartawan di New Straits Times di Sarawak pada 1981, Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (1998) dan Perunding Media untuk Sarawak Digest (2022).

Kecemerlangan beliau dalam bidang kewartawanan dan penulisan membolehkannya menerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada tahun lepas, selain Anugerah Emas Shell Kenyalang, Anugerah Akhbar AZAM dan Anugerah Emas Ang Lai Soon. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan