KANOWIT, 6 Mei: Seorang wanita warga emas cedera dalam kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta di Jalan Lukut Penyulau, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 76 tahun itu merupakan penumpang kereta jenis Toyota Vios berwarna putih, manakala pemandu kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Komander Operasi, Norman Matu, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.45 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah kereta telah terbabas ke dalam parit di tepi jalan raya. Terdapat dua mangsa di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak hari ini.
Beliau berkata, pemandu tidak mengalami kecederaan, manakala penumpang yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun tidak tersepit.
Pasukan operasi kemudiannya memasang ‘cervical collar’ pada mangsa sebelum mengeluarkannya dari kenderaan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut dan dibawa ke Hospital Kanowit menggunakan ambulans,” katanya. -TVS