TAWAU, 6 Mei: Tindakan pantas bomba berjaya mengelakkan lebih 40 rumah daripada musnah dalam kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Baru, Batu 2, Jalan Apas, Tawau, awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.17 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi 10 minit kemudian.
Komander Operasi PBK I Suheizan Sahak berkata kebakaran melibatkan tiga rumah satu tingkat jenis separuh kekal bersaiz 40 x 50 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke 47 buah rumah lain yang berada berhampiran. Tindakan segera ini berjaya menyelamatkan sebahagian besar kawasan kampung daripada musnah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi pemadaman melibatkan dua jentera FRT dengan pancutan air sepanjang lebih 800 kaki daripada pili bomba serta bantuan tangki air bomba (water tanker).
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 4.04 pagi dan ditamatkan pada jam 7.11 pagi setelah tiada lagi ancaman di lokasi.
Seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau terlibat dalam operasi tersebut, dibantu oleh polis (6 anggota), APM (10 anggota), Sabah Electricity (2 anggota), dan pasukan Bomba Komuniti Titingan (8 anggota).
Tiada mangsa cedera dilaporkan. – TVS