ALOR SETAR, 6 Mei: Tiga penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis di sebuah rumah inap desa di Sik, Kedah pada 1 Mei lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketika kejadian sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan JSJ IPK Melaka telah menyerbu lokasi berkenaan hasil maklumat kecurian kereta.
“Dua suspek yang berada dalam bilik tidur utama bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis dan bagi mempertahankan diri, anggota kita telah membalas tembakan menyebabkan dua suspek mengalami kecederaan parah.
“Seorang lagi suspek yang berada di bilik belakang telah menyerang polis dengan parang yang menyebabkan seorang anggota terkena libasan pada bahagian vest yang dipakai.
“Pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek,” katanya pada sidang media di IPK Kedah hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut polis di lokasi menjumpai dua pucuk pistol, beberapa kelongsong peluru dan sebilah parang yang digunakan suspek.
Katanya, ketiga-tiga suspek yang beralamat di Negeri Sembilan itu didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes curi kenderaan.
Berkenaan kenderaan yang ditemui, Mohd Shuhaily berkata kereta yang digunakan suspek iaitu jenis Honda CRV yang telah dilaporkan hilang di daerah Petaling Jaya, Selangor pada April lepas.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 26 nombor plat pendaftaran palsu dan pelbagai alatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan curi kenderaan. Semakan lanjut juga mendapati, sindiket ini bergiat aktif sejak 2023 dan telah terbabit dalam 73 kes kecurian kenderaan 4×4.
“Pada hari yang sama iaitu kira-kira 3 petang, Unit Risikan Sempadan (URS) JSJ, Malaysian Police Liasion Office (MPLO) dan Royal Thai Police (RTP) berjaya menemukan dua kenderaan 4×4 jenis Toyota Hilux yang dicuri dan diseludup keluar ke sempadan melalui jalan tikus oleh sindiket berkenaan,” katanya.
Beliau berkata empat warga Thailand berumur antara 34 dan 58 tahun yang berperanan sebagai penghantar kenderaan ke utara negara jiran itu turut ditahan di daerah Sabayoo, Wilayah Songkhla, Thailand.
“Kita juga percayai, ketua sindiket yang merupakan warga asing masih berada di luar sana dan polis sedang mengesan saki baki ahli sindiket ini. Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat terutamanya melibatkan kejadian jenayah curi kenderaan yang berlaku di kawasan masing-masing,” katanya. -TVS.