KUCHING, 6 Mei: Penganjuran Sarawak Aerobig Day 2025 menjadi pemangkin kepada misi kebajikan BANTU Sarawak, khususnya melalui pelaksanaan pelbagai projek rakyat yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan di seluruh negeri.
Pengasasnya, Jeffery Ngui, berkata dana yang diperoleh melalui yuran pendaftaran program itu akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah misi berkenaan.
“Tahun lepas, kita berjaya mengumpulkan dana RM20,000 dan menjalankan projek di bawah Misi BANTU seperti misi bantu kebakaran, misi bantu banjir Sarawak dan lain-lain yang khususnya melibatkan membantu golongan yang memerlukan.
“Satu projek yang kami telah lakukan adalah Projek Noah’s Ark di mana kami mengenal pasti komuniti memerlukan di Sarawak, termasuk usaha memulih semula sebuah tadika di Miri yang kemudiannya dinamakan Tadika Noah’s Ark yang menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak komuniti Penan,” ujarnya ketika sidang media Sarawak Aerobig Day 2025, di sini, hari ini.
Misi BANTU Sarawak katanya, tidak terhad kepada satu daerah sahaja dengan memetik contoh di Sibu misalnya, BANTU Sarawak bekerjasama dengan Destiny for Children (DFC) untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak-anak tanpa kewarganegaraan.
Sementara itu bagi tahun ini, ujarnya BANTU Sarawak turut berjaya membina sebuah makmal komputer bersama Destiny for Children (DFC) dengan penyediaan 10 daripada 20 komputer yang dirancang serta membaik pulih sistem perpaipan air di kawasan perkampungan bagi menyediakan kemudahan dan suasana pembelajaran yang lebih baik.
BANTU Sarawak juga komited untuk meluaskan pelaksanaan Misi BANTU ke Bintulu dan kini dalam proses mengenal pasti kawasan serta komuniti yang memerlukan bantuan. Pendekatan ini selaras dengan matlamat mereka untuk memastikan bantuan disalurkan secara menyeluruh di seluruh Sarawak.
“Segala inisiatif dan usaha yang dijalankan oleh BANTU Sarawak adalah hasil kutipan dana daripada penganjuran acara Aerobig Sarawak, yang akan diteruskan pada tahun ini bagi menyokong lebih banyak projek kemasyarakatan,” katanya. -TVS