KUALA LUMPUR, 6 Mei: Skuad negara diingatkan supaya tidak memandang mudah cabaran Thailand yang dibarisi muka-muka baharu pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, yang akan membuka tirainya Sabtu ini.
Tekong pasukan negara Mohd Syahir Mohd Rosdi berkata meskipun Thailand tidak menyenaraikan pemain-pemain ternama pada kejohanan itu, beliau percaya pasukan itu mampu memberikan saingan sengit bagi merebut gelaran juara.
“Pemain-pemain yang disenaraikan Thailand sebenarnya kami kenal, cuma mereka baru sahaja dipanggil sertai pasukan kebangsaan. Thailand sudah tentu tidak menghadapi kejohanan itu sambil lewa dan siapa yang mereka panggil itu sudah tentu pemain yang hebat.
“Jadi bagi saya, kita tidak boleh ambil mudah cabaran Thailand walaupun kali ini hampir kesemua pemain yang disenaraikan adalah pemain baharu. Jadi, saya harap pemain-pemain akan kekal fokus dan beri aksi yang terbaik ketika menentang Thailand,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, atlet berusia 29 tahun itu berkata beliau mengidam untuk membantu pasukan negara meraih gelaran juara dalam acara regu berpasukan.
“Selain mahu menjadi juara acara regu, saya juga sebenarnya mahu menjuarai acara regu berpasukan. Hanya acara itu saya belum menang bersama pasukan kebangsaan.
“Sebelum ini kalau kita lihat, pasukan negara sering kalah tipis 1-2 kepada Thailand bagi acara regu berpasukan. Jadi, saya harap mampu bantu pasukan menang acara ini,” katanya.
Dalam acara regu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura, manakala dalam acara regu berpasukan, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Brunei dan Jepun. – TVS