TOULOUSE, 6 Mei: Pertemuan rasmi antara Kerajaan Sarawak dan Airbus di ibu pejabat syarikat penerbangan terkemuka dunia itu menyaksikan satu pencapaian penting apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan dalam enam bidang kerjasama strategik.
Sesi libat urus bersama barisan kepimpinan kanan Airbus adalah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan Sarawak dalam landskap penerbangan dan teknologi tinggi serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa pertemuan tersebut bukan sahaja membincangkan pengoperasian AirBorneo, tetapi merintis kerangka jangka panjang bagi membina ekosistem aeroangkasa yang menyeluruh.
“Saya ingin berbincang secara lebih mendalam mengenai bidang-bidang yang kita usahakan bersama, saya juga telah membangkitkan beberapa perkara kerana bagi kami dalam kerajaan bahawa AirBorneo bukan sekadar syarikat, tetapi katalis dalam membangunkan industri aeroangkasa dan penerbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan teknikal ke ibu pejabat ATR dan Airbus yang berpangkalan di Toulouse, Perancis pada Isnin, waktu tempatan.
Antara bidang kerjasama yang dipersetujui adalah pembangunan Sustainable Aviation Fuel (SAF) untuk menyokong agenda sifar karbon industri penerbangan menjelang 2050.
Antara lain termasuk pembangunan modal insan melalui kerjasama latihan antara Airbus dan institusi pengajian tinggi seperti ICATS.
Selain itu, pembangunan ekosistem industri termasuk bahan komposit, avionik dan chip berasaskan teknologi kepintaran buatan (AI) serta penyelidikan dan penghasilan bahan dalam industri penerbangan, termasuk kulit sintetik dan bahan komposit daripada gas asli.
Abang Johari turut menyentuh tentang pendigitalan pengalaman perjalanan, termasuk sistem ‘seamless travel’ dari Eropah ke destinasi di Sarawak dan penubuhan pasukan kerja bersama Airbus bagi menyelaras inisiatif pembangunan dan pelaburan bersama.
Pertemuan ini turut memberi ruang kepada Kerajaan Sarawak untuk membentangkan cadangan pembinaan Aerotropolis seluas 100 ekar, yang akan menjadi hab bersepadu untuk latihan, penyelidikan dan aktiviti sokongan industri aeroangkasa.
“Kita mempunyai kawasan untuk mewujudkan apa yang disebut sebagai aerotropolis seperti yang dilaksanakan oleh Airbus.
“Kawasannya tidak begitu besar, dan saya cadangkan untuk kita menggunakan kawasan seluas 100 ekar untuk membangunkan aerotropolis di mana semua bangunan itu berhubung kait,” katanya. -TVS