MIRI, 6 Mei: Permintaan terhadap alat muzik tradisional seperti gong atau tawak melonjak menjelang sambutan Hari Gawai Dayak, khususnya dalam kalangan mereka yang meraikan perayaan berkenaan di negeri ini.
Dua peniaga tempatan, Jalil Ngembol dan David Iting, berkongsi keterujaan mereka apabila jualan alat muzik warisan seperti gong, bebendai, engkerumung, dan ketabung melonjak sempena musim perayaan ini.
Menurut Jalil, gong yang dijualnya dibawa masuk dari Sabah, manakala pemukul dan ukiran pada gong tersebut dihasilkan sendiri di rumahnya.
“Orang ramai kini lebih cenderung untuk membeli satu set lengkap termasuk gong, bebendai dan engkerumung dan masa ini terlampau ramai orang ingin tempahkan. Kaki gong dan ukiran tesebut semua saya buat sendiri,” katanya ketika ditemui TVS di Bazar Gawai Dayak 2025 di Permyjaya, Miri pada Isnin.
Tambahnya, pelanggan bukan hanya terdiri daripada penduduk setempat, malah ada yang datang dari luar kawasan semata-mata untuk mendapatkan gong sebagai pelengkap upacara adat dan persembahan kebudayaan.
Sementara itu, David Iting turut mengakui berlaku peningkatan permintaan terhadap pelbagai jenis alat muzik tradisional menjelang Gawai, termasuk tawak, sanang, engkerumung, dan ketabung.
“Untuk alat muzik tradisional, kita memang ada jual pelbagai jenis yang lama dan juga yang baru. Permintaan memang tinggi terutama bila hampir dengan Gawai,” katanya.
Menurutnya, harga satu set alat muzik tradisional bergantung kepada bahan pembuatannya dengan set asas dijual sekitar RM1,200 manakala yang diperbuat daripada tembaga boleh mencecah harga lebih tinggi kerana kualitinya yang unggul.
“Yang paling digemari memang tembaga lah, sebab ia tahan lama, tak mudah berkarat dan bunyinya lebih merdu,” katanya lagi. – TVS