SHAH ALAM, 6 Mei: Seorang pengemis dituduh membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan menerusi prosedur tertutup di Hospital Shah Alam di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian pada 24 April lepas, pihaknya menerima maklumat awam berkaitan seorang lelaki India tempatan ditemukan meninggal dunia hadapan sebuah bank di Seksyen 18.
Kata beliau, tertuduh yang berusia 28 tahun ditahan di kawasan kejadian pada hari sama.
“Hasil siasatan mendapati si mati yang berumur 40 tahun merupakan seorang peminta sedekah di sekitar kawasan bank tersebut.
“Tertuduh yang didakwa hari ini merupakan seorang lelaki Melayu yang ingin meminta sedekah di kawasan tersebut.
“Semasa kejadian, telah berlaku pertengkaran mulut di antara kedua-dua mereka berkaitan isu perebutan tempat meminta sedekah,” katanya menerusi kenyataan media.
Beliau memberitahu, suspek telah mengeluarkan sebilah pisau dan menikam bahagian dada mangsa beberapa kali sehingga menyebabkan jatuh terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
“Suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan pada hari ini telah dituduh pada pukul 10,22 pagi tadi.
“Semasa pertuduhan dibacakan, tertuduh mengangguk faham dan tarikh sebutan semula pada 9 Jun depan di Mahkamah Majistret Shah Alam,” katanya. -TVS.