BUTTERWORTH, 6 Mei: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakannya berusia 63 tahun, dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Yee Fat Seong selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Ini kerana kes itu di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membunuh Loo Ah Teong di sebuah pondok rehat di Lot 1752, Jalan Kolam, Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 2 hingga 3.22 petang pada 27 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes itu akan disebut semula 30 Jun depan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 63 tahun maut selepas ditikam dengan pisau oleh rakannya berusia 70 tahun semasa bersembang di sebuah pondok bersama empat rakan lain.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris, hasil siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara mereka sejak tiga hari sebelum kejadian. – TVS