MIRI, 6 Mei: Setiap agensi pembangunan wilayah (RDA) perlu mengemukakan laporan mengenai rancangan dan kemajuan projek setiap suku tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia penting untuk memastikan setiap projek dirancang siap mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Setiap RDA hendaklah mengemukakan laporan kemajuan projek untuk dibentangkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Agensi Pembangunan Wilayah Tinggi (HDA) di Miri hari ini.
Malah menurutnya, satu Jawatankuasa Khas RDA ditubuhkan bagi menyelaras dan memantau secara menyeluruh pelaksanaan projek di Sarawak.
“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan keahliannya terdiri daripada semua pengurus atau pegawai tadbir urus RDA serta agensi pusat berkaitan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU), Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri Sarawak (SIMU), kementerian dan jabatan teknikal berkaitan.
“Penubuhan jawatankuasa ini adalah sebahagian daripada usaha memperkemas penyelarasan dan pelaporan pelaksanaan projek agar lebih sistematik dan responsif terhadap cabaran di lapangan,” ujarnya.
Dr. Abdul Rahman ketika ini sedang mengadakan lawatan kerja ke semua pejabat RDA dari 5 hingga 16 Mei di seluruh Sarawak.
Lawatan tersebut bertujuan menjalinkan hubungan lebih erat antara beliau selaku penyelaras projek dengan pegawai serta kakitangan RDA di samping menilai prestasi pelaksanaan projek dan mengenal pasti sebarang kekangan yang wujud.-TVS