Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Len Talif Salleh dan Datuk Dr Juanda Jaya disambut mesra sebaik hadir Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) di Dewan Sentral Sarikei, hari ini.

KMKK perlu peka dan proaktif pantau projek pembangunan kampung

SARIKEI, 6 Mei: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digesa agar memainkan peranan lebih aktif dan berkesan dalam memantau pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing agar segala perancangan berjalan lancar dan mengikut saluran yang betul.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata KMKK bukan sahaja perlu memantau projek yang diluluskan, malah turut bertanggungjawab mengenal pasti sebarang isu atau masalah yang timbul di peringkat awal agar penyelesaian dapat segera tercapai.

“Dari pelaksanaan projek, mungkin ada pandangan yang berbeza. Namun yang penting, kita pastikan semuanya dilaksanakan melalui saluran yang betul.

“KMKK perlu sentiasa mengikuti dan menyemak perkembangan projek-projek seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang kini giat dijalankan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) di Dewan Sentral Sarikei, hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Sarawak kini turut mengambil langkah memperkukuh peranan KMKK dengan memperkenalkan MIKM sebagai inisiatif strategik untuk memupuk nilai integriti dalam kalangan pemimpin masyarakat.

Modul yang dibangunkan hasil kerjasama antara Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) ini, telah dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak sempena Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) pada tahun 2023.

Ia mengandungi dua peringkat iaitu MIKM Tahap 1 yang dilancarkan pada tahun tersebut, diikuti MIKM Tahap 2 yang diperkenalkan pada Oktober 2024.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, menegaskan bahawa KMKK kini bukan sekadar penghubung antara kerajaan dan rakyat, malah turut berperanan penting dalam pembangunan komuniti setempat.

“Dalam era digital ini, peranan KMKK semakin meluas dan kompleks. Mereka bukan sahaja perlu berintegriti, malah perlu lebih proaktif, peka terhadap cabaran semasa, serta mampu menyesuaikan diri dengan pendekatan kerja yang semakin mencabar,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan