JOHOR BAHRU, 6 Mei: Keselamatan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 di Lubnan berada dalam keadaan terkawal di sebalik pergolakan di rantau berkenaan ketika ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, langkah-langkah kontingensi akan dilaksanakan secara berterusan sebagai persediaan berdepan sebarang situasi luar jangka.
Kata beliau, anggota di lapaangan juga sentiasa diingatkan supaya berwaspada dengan menyediakan bunker (kubu pertahanan).
“Yang kita bimbang adalah tindakan luar kawalan oleh pihak bertelagah yang mungkin menembak ke kawasan tugasan kita tapi Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi insiden-insiden yang berisiko namun kita sentiasa berwaspada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Ramah Mesra Panglima Tentera Darat dan Pengerusi Jemaah Bakat Darat bersama keluarga MALBATT 850-12 di Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja, Ulu Tiram, di sini pada Isnin.
Muhammad Hafizuddeain mengulas mengenai keselamatan anggota MALBATT susulan tindakan tentera pengganas Israel yang melanggar genjatan senjata dengan menyerang selatan Lubnan, bulan lalu.
Sementara itu, beliau memaklumkan MALBATT 850-12 dijadualkan pulang secara beransur-ansur menjelang November sebelum digantikan dengan pasukan MALBATT 850-13 termasuk satu platun daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Katanya, pasukan dari Batalion Kedua Askar Melayu Diraja yang berpengkalan di Sungai Ara, Pulau Pinang itu akan mula dikumpulkan pada Jun bagi menjalani Latihan Integrasi Daya (Force Integration Training), di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Dari segi bilangannya, sama iaitu 850 anggota termasuk daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
“Unit ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan dalam masa ini, pemilihan komander dan pegawai staf yang terlibat,” katanya. -TVS.