KOTA SAMARAHAN, 6 Mei: Sebuah jengkaut musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di tepi jalan Kampung Melayu, di sini, awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.01 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 28 kilometer.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 3.30 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah jengkaut yang terbakar di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) diketuai PBK I Lydia Sarkawi kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran hos bagi mengawal dan memadamkan kebakaran.
“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini. Operasi berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi dan tamat sepenuhnya jam 4.05 pagi selepas kerja-kerja overhaul dilakukan,” katanya.
Kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Seramai lapan anggota bersama satu jentera FRT dan satu unit EMRS terlibat dalam operasi tersebut. -TVS