MIRI, 6 Mei: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyelaras dan melaporkan perkembangan serta isu yang dihadapi oleh entiti di bawah Agensi Pembangunan Wilayah (RDA).
Menurut kenyataan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak Jabatan Premier Sarawak, jawatankuasa khas ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Sembilan agensi pembangunan wilayah tersebut ialah Northen Regional Development Agency (NRDA), Highland Regional Development Agency (HDA), Mid-Rajang Regional Development Agency (MiRRDA), Upper Rajang Development Agency (URDA), Rajang Delta Development Agency (RADDA), Betong Division Development Agency (BDDA), Sri Aman Development Agency (SADA), Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) dan Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA).
“RDA turut merangkumi agensi pusat seperti EPU, SIMU serta Kementerian/Agensi/Jabatan yang berkaitan,” kata kenyataan tersebut.
RDA ditubuhkan untuk merancakkan pembangunan di wilayah dengan kelulusan projek tanpa melalui agensi pusat.
Semua cadangan projek dirancang oleh RDA masing-masing dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Wilayah berkenaan.
“Projek-projek RDA dilaksanakan oleh agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah,” ujarnya.
Sehubungan itu, RDA dan pemilik aset dikehendaki untuk merancang bajet dan tenaga kerja bagi operasi dan penyelenggaraan aset.
Di samping itu, kerjasama padu daripada semua RDA diperlukan untuk memastikan projek-projek yang dirancang dan diluluskan berjalan lancar serta bekerjasama rapat dengan agensi pelaksana dan agensi pemantau bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.