KUALA LUMPUR, 6 Mei: Malaysia perlu memfokuskan pembangunan ekonomi domestik agar ia berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi moden, seperti kadar tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting supaya Malaysia mampu bergantung dengan keupayaan sendiri sekali gus memastikan kesejahteraan negara dapat dikekalkan.
Kejayaan kepada perkara itu kata Anwar bergantung kepada anak muda.
“Walaupun kita menggunakan teknologi asing tetapi kita harus mencari kaedah-kaedah baharu dan ini ditentukan oleh anak-anak muda.
“Dengan dasar yang jelas, maksudnya kita bergantung lebih kepada keupayaan kita, hidupkan perniagaan, pengurusan dan kepakaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi Fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengakutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ujar Anwar lagi, peluang kepada pelatih yang akan menimba ilmu di Liuzhou, China selama setahun harus digunakan sebaik mungkin supaya ia dapat menjadi contoh teladan kepada rakan yang baik dalam menimba ilmu teknologi moden.
Sementara itu Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa beliau menerima kunjungan hormat daripada Advanced Micro Devices Inc. (AMD) iaitu sebuah syarikat gergasi semikonduktor yang telah bertapak di Malaysia sejak 1972.
Beliau memberitahu, AMD mahu membangunkan semikonduktor ‘advanced packaging’ dan ‘advanced design’ yang boleh memberi penyelesaian kepada masalah tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS.
“Sebagai contoh, AS mengenakan tarif yang tinggi terlalu tinggi pengeluaran produk solar yang berpangkalan di China ataupun syarikat China yang beroperasi di Malaysia.
“Kita menolak apa-apa langkah unilateral kerana dunia sekarang dunia perdagangan dan terbuka sejak 1968 dan patuh dengan World Trade Organisation (WTO) yang mempraktikkan sistem multilateral berdasarkan hukum perdagangan,”
“Kita menghormati dasar tesebut sebab itu kita tidak bersetuju dan mengambil langkah untuk berunding kerana belum dimuktamadkan,” ujar Anwar lagi. – TVS.