TAWAU, 6 Mei: Seramai lebih 70 sukarelawan terdiri daripada warga kerja Bank Rakyat dan komuniti setempat berganding bahu menjayakan program BaktiRAKYAT di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Tawau, Sabah baru-baru ini.
Program itu menyaksikan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Dewan Serbaguna Kampung Mentadak Baru, membaik pulih bumbung serta dinding bangunan, dan mengecat semula premis demi mewujudkan suasana persekitaran yang lebih ceria dan kondusif.
Menurut Bank Rakyat dalam satu kenyataan pada Selasa, Kampung Mentadak baru yang berpopulasi kira-kira 540 orang itu terletak kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dan feri dari Jeti Penumpang Tawau.
Program tersebut turut diadakan bersempena dengan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang akan berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau bermula 9 Mei ini.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk kerja pembersihan di sekitar kawasan Dewan Serbaguna Kampung Mentadak Baru, membaik pulih bumbung dan dinding serta mengecat bangunan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang ceria dan kondusif.
“Meskipun terpisah oleh lautan, kampung ini kekal aktif dengan pelbagai kegiatan ekonomi yang menyumbang kepada kelangsungan hidup penduduknya.
“Dewan Serbaguna berkenaan juga berperanan penting sebagai pusat aktiviti riadah dan sosial penduduk setempat. Antara sumber pendapatan utama komuniti di sini termasuklah perniagaan kedai runcit, perikanan serta perkhidmatan bot dan penghantaran barang,” catat kenyataan terbabit.
Diadakan bersempena dengan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang bakal dianjurkan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau bermula 9 Mei ini, program BaktiRAKYAT ini bertujuan untuk membudayakan nilai kerjasama, memupuk semangat berpasukan, mengikis sikap mementingkan diri sendiri serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan persekitaran dalam kalangan warga kerja Bank Rakyat.
Usaha ini juga adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Bank Rakyat dalam menyokong pembangunan masyarakat yang memerlukan dan memacu kelestarian alam sekitar di seluruh negara, sekali gus memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat.
Di samping sebagai tanda keprihatinan dan ihsannya terhadap kesejahteraan masyarakat yang memerlukan, inisiatif ini juga adalah sebagai simbolik penghargaan Bank Rakyat kepada sokongan dan keyakinan pelanggannya selama ini, yang mana dilihat bertepatan dengan nilai Malaysia Madani.
Inisiatif ini yang merupakan kesinambungan program BaktiRAKYAT Wilayah Sabah 2025 mencatatkan 584 jam khidmat sukarela. -TVS