KUALA LUMPUR, 6 Mei: Seramai 3,200 orang disasar untuk menyertai Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi tujuan pengoperasian dan penyelengaraan (O&M).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sebagai permulaan, seramai 210 pelatih daripada 15 institusi latihan seluruh negara akan di hantar ke Liuzhou, China bagi menjalani latihan intensif selama setahun pada 15 Mei depan.
Jelas beliau pelatih akan mengikuti latihan komprehensif yang merangkumi teori, amali serta pengalaman sebenar dalam operasi sistem rel.
“Kita mahu melahirkan tenaga kerja yang mahir untuk pelbagai jawatan dan (apa yang) lebih menggembirakan, mereka dijamin peluang pekerjaan bersama ECRL sebaik sahaja tamat latihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL Bagi Fasa O&M ECRL yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Fasa pembinaan Projek ECRL bermula pada 2017 namun ditangguhkan beberapa kali disebabkan pelbagai isu yang memberikan impak kepada bajet pembangunannya.
Sementara itu dedah Anthony peratusan siap projek yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu telah mencapai 82.45 peratus, lebih awal daripada masa dijadualkan.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) memerlukan kita-kira 1,800 tenaga kerja apabila ECRL bermula operasi pada Januari 2027.
“Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menetapkan agar sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja ini terdiri daripada warga tempatan dan mempunyai tahap kepakaran kepakaran, meliputi pekerja berpengalaman dan pekerja baharu, bagi memastikan operasi ECRL dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan,” ujar beliau lagi.
Bagi menjayakan program ini, tambah beliau PLKI-ECRL O&M telah menerima komitmen tajaan sebanyak RM12 juta daripada China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi menampung kos pelaksanaan program.
Dalam masa sama, Anthony berkata sebanyak 11 set tren EMU enam gerabak buatan syarikat CRRC Dalian telah diperuntukkan bagi pengoperasian ECRL, di mana set yang pertama dijangka tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini. – TVS.