SIBU, 6 Mei: Seramai 269 pelajar cemerlang SPM 2024 dari kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Assek menerima insentif keseluruhan berjumlah RM97,000 dalam satu majlis penuh bermakna yang berlangsung di SMK Methodist, Sibu hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata ia menyaksikan peningkatan sebanyak 15 peratus bilangan penerima insentif bagi pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 5A, berbanding 233 pelajar pada tahun 2023.
“Daripada jumlah itu, SMK Methodist mencatatkan pencapaian tertinggi dengan 128 pelajar menerima insentif bernilai RM44,600.
“Tahniah diucapkan kepada semua penerima dan teruskan berusaha mencapai kejayaan lebih besar pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Murid SPM 2024 di sini, semalam.
Menurutnya lagi, program insentif ini diperkenalkan sejak tahun 2022 sebagai usaha mengiktiraf usaha gigih pelajar serta memberi galakan untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.
“Tujuan program ini adalah untuk menghargai pelajar yang berusaha mencapai kejayaan dan memberi peringatan kepada mereka bahawa setiap titik peluh mereka dinilai, dihargai dan diiktiraf.
“Saya mahu setiap pelajar ingat bahawa setiap pencapaian itu penting dan setiap usaha itu bermakna. Jangan berhenti setakat di sini,” tambahnya.
Sementara itu, Pengetua SMK Methodist Philip Ling berkata sumbangan yang diberikan bukan sahaja satu bentuk pengiktirafan yang bermakna, malah menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan setinggi mungkin.
“Komitmen dalam menyokong agenda pendidikan wajar dicontohi dan amat kami hargai,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan membanggakan warga sekolah yang diraikan pada majlis itu.
“Keputusan yang diumumkan pada 24 April lalu menunjukkan peningkatan prestasi signifikan, apabila sekolah mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.60, pencapaian terbaik dengan bilangan calon teramai di Bahagian Sibu iaitu seramai 360 orang.
“Lebih membanggakan, seramai 32 orang calon telah berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran, manakala 123 orang calon pula berjaya mencatat keputusan 5A dan ke atas.
“Daripada 19 subjek yang didaftar, 11 subjek mencapai GPMP yang meningkat dan juga 11 subjek mencapai 100 peratus lulus,” jelasnya. – TVS