JAKARTA, 4 Mei: Seorang pendaki warga Malaysia, Rennie Abdul Ghani, 57, disahkan meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip, laluan pendakian Torean, Gunung Rinjani pada Sabtu, sekitar pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan.
Menurut keterangan pemandu dan rakan mangsa, kejadian berlaku ketika kumpulan itu berhenti untuk mengambil air di mata air Banyu Urip manakala mangsa terus menyusuri laluan berkenaan sebelum tergelincir, menyebabkan beliau hilang imbangan dan terjatuh ke sebelah kanan laluan pendakian.
Ketua Pejabat SAR Mataram, Hariyadi, memaklumkan bahawa pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya mengeluarkan mangsa dari dasar gaung sedalam 80 meter pada jam 10.30 pagi tadi.
“Pasukan kami berjaya menjalankan operasi penyelamatan dan membawa mangsa keluar untuk dibawa ke titik awal pendakian Torean,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan seramai 29 orang berdepan kesukaran untuk mengangkat mangsa disebabkan lokasi kejadian yang curam dan mencabar.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bhayangkara Mataram untuk proses bedah siasat sebelum diuruskan bagi dibawa pulang ke Malaysia.
Difahamkan, mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan pendaki seramai 23 orang yang memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei lalu. – TVS