KUALA LUMPUR, 4 Mei: Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan isu berkaitan Petronas dan Petros dalam sektor minyak dan gas di Sarawak akan dapat diselesaikan dengan baik.
Jelas Perdana Menteri, beliau telah berhubung dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sedang mengadakan lawatan rasmi di London semalam untuk membincangkan isu itu.
Kata Anwar perkara berkenaan selaras dengan persefahaman dicapai sebelum ini antara kerajaan pusat dengan Kerajaan Sarawak.
“Sekembalinya Premier (Sarawak) dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Abang Johari ketika sidang media di London mengesahkan beliau menerima panggilan daripada Anwar pada Sabtu berhubung isu berkenaan.
Jelas Abang Johari, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan komited untuk menyelesaikan isu tersebut secara harmoni serta adil dengan pendekatan menang – menang antara kedua – dua pihak.
Sementara Itu Anwar menambah, atas dasar kepentingan bersama, beliau berharap semua pihak harus menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan. – TVS.