MIRI, 4 Mei: Seorang pesara lelaki di daerah ini mengalami kerugian lebih RM586,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang beroperasi melalui platform dalam talian.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 2 Mei lalu melibatkan mangsa berusia lingkungan 50-an yang diperkenalkan kepada pelaburan “PJT Investment Academy” dan “Boom-S Trading Platform”.
“Mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri dan menawarkan peluang pelaburan menerusi Akademi Pelaburan EVR.
“Mangsa kemudian diminta menyertai kumpulan pelaburan itu serta menghadiri taklimat pasaran saham secara dalam talian melalui Zoom dari Ahad hingga Khamis setiap minggu,” katanya dalam kenyataan kepada media malam tadi.
Menurutnya, suspek turut mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi dikenali sebagai Qo Secure yang dikatakan sebagai platform dagangan eksklusif DMA dengan kelebihan tersendiri dalam urus niaga saham.
“Melalui platform itu, mangsa digalakkan melabur dalam pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI) palsu iaitu QTI Luxaigo sebelum akhirnya menyedari telah ditipu selepas membuat semakan sendiri terhadap latar belakang syarikat berkenaan,” ujarnya.
Mohd Farhan berkata, mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM586,450 dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda.-TVS