LONDON, 4 Mei: Sarawak memerlukan sokongan dan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan bantuan kewangan khas kepada pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara disalurkan secara adil dan berkesan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha untuk meluaskan bantuan itu masih tertakluk kepada beberapa kekangan teknikal dan peraturan perbankan, khususnya berkaitan kawalan aliran dana ke luar negara yang dikawal selia BNM.
“Masalah utama ialah apabila kita ingin menghantar dana ke luar Malaysia, ia melibatkan pertukaran mata wang asing dan transaksi itu jatuh di bawah pemantauan ketat.
“Ini bukan soal kita tidak mahu memberi, tetapi ia sangat rumit dan memerlukan kelulusan serta garis panduan yang jelas dari BNM,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada permintaan pelajar Sarawak di luar negara dalam sesi Sarawak Agenda Townhall, Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 Edisi UK di London pada Sabtu.
Setakat ini, pelajar Sarawak yang berada di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara telah mula menerima bantuan kewangan khas berjumlah RM1,200 seorang dalam bentuk wang saku.
Ia sebagai inisiatif Kerajaan Sarawak untuk meringankan beban pelajar dan membantu dalam kos sara hidup semasa menuntut ilmu.
Beliau turut menjelaskan bahawa keperluan untuk memastikan keadilan dalam agihan dana juga menjadi pertimbangan utama.
“Kalau kita beri lebih di luar negara, yang dalam negara akan persoal, sebab kita perlu pastikan nilai bantuan itu mempunyai kuasa beli yang setara (Purchasing Power Parity),” jelasnya.
Permintaan terhadap bantuan ini amat tinggi dalam kalangan pelajar Sarawak di luar negara yang merasakan keperluan untuk mendapat sokongan yang sama, terutama dalam keadaan kos sara hidup di negara luar yang semakin meningkat.
Abang Johari berkata kerajaan Sarawak menyatakan komitmen berterusan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik agar pelajar di luar negara turut menikmati bantuan tersebut. -TVS