KUCHING, 4 Mei: Peranan yang digalas Persatuan Ngajat Asal Iban (NGASI) dalam memelihara dan mempertahankan seni dan budaya Iban selama 10 tahun penubuhannya wajar dipuji dan diiktiraf.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, tekad dan usaha berterusan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti NGASI itu wajar dicontohi serta diteruskan bagi memastikan adat resam dan kebudayaan etnik di Sarawak tidak pupus ditelan arus pembangunan moden yang semakin pesat.
“Saya difahamkan terdapat 51 peserta yang berjaya menamatkan kelas belajar ngajat bersama dengan tenaga pengajar NGASI.
“Mereka ini terdiri daripada golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak yang menguasai kemahiran ngajat peringkat basic dan advance melalui dengan mengikuti kelas selama dua bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibaca oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Nyomek Nyeap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Persatuan Ngajat Asal Iban (NGASI) Ke-10 di Penview Convention Center (PCC) Demak pada Sabtu.
Snowdan menjelaskan, kesungguhan, kemahiran dan tunjuk ajar yang diberikan jurulatih NGASI kepada setiap peserta dapat memupuk semangat cintakan nilai budaya tradisional dalam kalangan mereka serta menyatupadukan golongan belia dengan komuniti tempatan.
Sementara itu, Pengerusi NGASI Bartholomew Sirow Chong berkata, NGASI terus komited memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan memelihara dan menjadi penerus kepada kesinambungan seni serta budaya tempatan supaya ianya berkekalan pada bila-bila masa.
“Kalau kita lihat jumlah keahlian NGASI semakin bertambah dan sehingga sekarang telah mencecah kepada 120 ahli,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, seramai 51 peserta menerima sijil tamat kelas ngajat daripada NGASI.
Selain itu, bagi memberi sokongan kepada usaha NGASI, Snowdan turut mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada persatuan berkenaan. – TVS