MIRI, 4 Mei: Penyertaan pemain badminton beregu Sarawak, Maggie Paya Udau dalam Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak (SOPMA) Baton Run 2025 adalah untuk menyokong komuniti pekak.
Sebagai anak kelahiran Miri, beliau menyertai acara tersebut bagi memberi dorongan kepada komuniti pekak terus aktif dalam sukan.
Menurutnya, adalah sesuatu yang membanggakan mewakili atlet pekak dan meneruskan semangat perjuangan mereka dalam sukan.
“Saya turut berpeluang untuk menyerahkan baton kepada peserta lain untuk peringkat seterusnya sebagai simbolik sokongan dan kesinambungan dalam membangunkan kesedaran tentang kepentingan sukan dalam kehidupan golongan pekak,” katanya ketika ditemui TVS di pekarangan Majlis Bandaraya Miri (MBM), hari ini.
Maggie turut berharap acara seperti itu memberikan sokongan kepada semua warga pekak di Sarawak terutamanya yang terlibat dengan sukan.
“Melalui sukan, saya juga berharap dapat mendpaat banyak sokongan pada masa hadapan,” ujarnya.
SOPMA Baton Run 2025 bukan sahaja bertujuan mengumpul dana untuk Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak (SOPMA) tetapi meningkatkan kesedaran tentang kemampuan dan potensi atlet pekak seperti yang ditunjukkan oleh Maggie Paya Udau. – TVS